Sunday, July 27, 2008

BUBAR UMNO-PAS, SINDIR TOK GURU NIK AZIZ TIDAK BERSETUJU DENGAN MUZAKARAH


PARA perwakilan PAS yang akan bermuktamar ke-54 di Ipoh Perak pada 15-17 Ogos akan datang diminta mendesak barisan tertinggi PAS yang bersubahat dengan UMNO dalam isu muzakarah yang turut mencetuskan kegelisahan ramai dari kalangan PAS dan ahli-ahli dari komponen Pakatan Rakyat(PR). PAS di bawah kepimpinan Ustaz Hadi kali ini melakukan satu kesilapan besar. Terperangkap dan terjebak dalam dalam lingkaran nafsu politik UMNO.

Para perwakilan mistilah berani mendesak pimpinan PAS memberhentikan segera muzakarah dengan UMNO . Kerana PAS tidak akan memperolihi keuntungan apa-apa hasil daripada bermuzakarah tersebut. Sebaliknya jika Presiden PAS, Hj Hadi terus berdegil dan menagih untuk bermuzakarah dengan UMNO. Padahnya percayalah orang-orang Cina dan India yang mula memperlihatkan tanda-tanda mahu berjinak dengan PAS dan Pakatan Rakyat akan kembali semula ke lubuk asal mereka iaitu MCA dan MIC. Akibatnya PAS akan kalah besar dalam pilihan raya ke-13 akan datang.

Dipercayai ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan muzakarah itu. Malah, Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sendiri memperlihatkan nada sinisnya amat tidak menyenangi dengan perilaku pucuk pimpinan PAS yang secara senyap berjumpa dengan kepimpinan tertinggi UMNO yang berakhir dengan tercetusnya isu muzakarah.

Menteri Besar Kelantan amat kecewa sekali. Masakan tidak, ini dapat kita bacai apabila beliau membuat kenyataan di mana UMNO-PAS hendaklah dibubarkan kalaulah ingin bersatu. Saya fikir kenyataan Datuk Nik Aziz itu lahir dari naluri yang cukup kecewa sekali dengan sikap dan pendekatan pemimpin tertinggi PAS hari ini. Kenyataan tersebut juga bagi menyindir pemimpin-pemimpin PAS yang gairah untuk berpelukan dengan UMNO dan tanpa menyedari disebalik itu pihak UMNO mengambil kesempatan mencetuskan momokan bagi memainkan isu muzakarah tersebut bertujuan untuk melemahkan PAS dari dalam. Dan sekarang terserlah pemimpin-pemimpin PAS mula bertelagah. PAS sesama PAS sudah tidak seiya dan sekata lagi. Pun bagitu juga dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mula meragui terhadap pendekatan politik terbaru PAS itu. Inilah musibah dan kecelakaan yang sudah menimpa PAS hasil daripada muzakarah itu.

Justeru itu demi untuk menyelamatkan PAS daripada pemimpin-pemimpin terkanan parti yang memperkudakan ulamak menjadi tanggongjawab para perwakilan yang bermuktamar di Ipoh, Perak pada 15-17 Ogos akan datang misti menjadi kumpulan pendesak bagi memperhentikan segera muzakarah dengan UMNO. Ini kalaulah diteruskan juga ia cukup merugikan PAS. Dan parti itu akan hilang kepercayaan rakyat yang inginkan suatu anjakan perubahan terbaru di negara ini.

Sebaliknya kalau PAS sekarang merasakan ia perlu bekerjasama dengan UMNO. Sokonglah saranan Tok Guru Nik Aziz minta Ustaz Hadi, Nasharudin, Khalid Samad dan Mustafa Ali dan seluruh ahli-ahli PAS, ayuh marilah kita sama-sama dengan UMNO mencari jalan yang terbaik kita bubar UMNO-PAS dan bersatu selamat Islam dan Melayu di negara ini. Saranan Nik Aziz yang paling terbaik untuk dilakukan bersama UMNO-PAS.

No comments: