Monday, January 26, 2009

BILA UMNO TIDAK RELEVAN LAGI-APA PERSEDIAAN PAS UNTUK PERINTAH MALAYSIA















OLEH: JAMALUDIN MD.ISA

TERSERLAH sesudah melewati usia 61 tahun dan memerintah negara 54 tahun parti UMNO yang banyak berjasa kini dikatakan sudah tiada relevan lagi. UMNO difahamkan sedang menghadapi penyakit kronik ekoran dilanda kejutan tsunami politik pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu. Kekeronikan kian berpanjangan, namun masih belum bertemu penawar mujarab demi menyembuh sekali gus menyelamatkan UMNO dari menghadapi detik-detik maut tiada lama lagi jika penyakit tenat yang sedang merobek ke dalam seluruh denyut nadi anggota tubuh badan parti UMNO itu gagal dipulihkan kembali. Alamat besar UMNO akan berakhir hayat pemerintahan mereka di bumi Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehingga kini tiada tanda-tanda menunjukkan penyakit yang melanda UMNO akan sembuh dan pulih, antaranya seperti politik wang dalam menentukan proses peralihan kuasa dan pemilihan barisan pucuk pimpinan sudah menjadi barah kronik yang amat sukar hendak diubati. Rasuah politik pilihan raya terlalu amat sangat menjemukan rakyat. Kalau dahulu taburan kebendaan dan wang ketika menjelang musim-musim pilihan raya sentiasa memberikan pulangan keuntungan yang memihak kepada UMNO. Tetapi, politik sekarang sudah berubah suasana dan masa tanpa UMNO menyedari. Pengundi-pengundi dewasa ini akan menerima segala umpanan UMNO, namun undi akan berpihak kepada parti oposisi.

Aliran baru pola pengundi bukan Melayu dari sejak merdeka yang setia terhadap perkongsian kuasa antara UMNO-MCA-MIC sekarang sudah terhakis dan kesetiaan itu tiada menguntungkan UMNO lagi. Masa dan zaman melanda dan memusnahkan segala-galanya impian dan kenangan. Dan UMNO kini dikatakan oleh seluruh public opinion sudah tiada relevan lagi. Percayalah UMNO sekira ada lagi pilihan raya kecil selepas Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, UMNO-BN akan terus tewas satu demi satu dan scenario ini yang merupakan gelombang tsunami akan terus berpusar gelombangnya sehingga UMNO tercampak dan terjunam dalam pilihan raya ke-13 akan datang.

Justeru itu masa depan politik Malaysia akan memihak ke Pakatan Rakyat. Ini satu momentum hukuman yang UMNO-BN lakukan terhadap Anwar Ibrahim. Saya sentiasa yakin dan percayai perubahan momentum itu adalah kesan akibat daripada kezaliman pemerintahan UMNO-BN terhadap Anwar Ibrahim di zaman Tun Dr Mahathir memberikan impak kesan yang amat besar lagi menyukarkan untuk bangkit memulihkan semula kekuatan mereka demi meneruskan kelangsungan survival UMNO bagi mendominasi politik di negara ini.

Di sebalik UMNO di katakan tiada relevan lagi. Politik Malaysia sudah memihak kepada Pakatan Rakyat. Persoalannya sekarang apakah PAS sudah cukup bersedia untuk menerajui pemerintahan negara, kiranya UMNO gagal dalam pilihan raya umum tidak lama lagi. Mampukah PAS mengambil alih tempat UMNO sebagai penganti tunggak pemerintahan negara sepertimana UMNO yang menjadi tulang belakang teras pemerintahan Malaysia sejak 54 tahun lalu? Di sinilah letaknya cabaran besar dan hebat buat PAS. PAS juga nampaknya belum tentu dapat menguasai kedudukan teratas dalam Pakatan Rakyat walaupun parti itu diketegori sebagai pilihan kedua orang Melayu sesudah UMNO. Saya fikir inilah dilema PAS dalam Pakatan. Oleh itu PAS mistilah lebih bersiap sedia untuk menjadi penerajui pemerintahan negara yang kita kebanyakannya sudah meramalkan UMNO-BN akan tewas dalam medan politik pilihan raya ke-13 akan datang.

Sebagai parti pilihan kedua orang Melayu sesudah UMNO, PAS perlu pantas merencana strategi masa depan percaturan politik yang sukar juga untuk bersaing dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Walaupun bersama, namun bukannya mudah untuk menyusun strategi yang akan memihak kepada PAS apabila Pakatan menang nanti. Persoalan ini barangkali sukar untuk ditepis oleh PAS, kerana persaingnya lebih terbuka yang akhirnya saya kira akan menyulitkan PAS. Tetapi, hanya itu sahaja landasan yang boleh membuka ruang kepada PAS untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara apabila UMNO-BN tumbang. Tiada dinafikan persaingannya dengan rakan KeaDilan dan DAP buat masa sekarang sukar digambarkan. Namun, kaedahnya akan dapat diselesaikan apabila situasi benar-benar Pakatan Rakyat dapat memerintahan sesudah UMNO semakin tiada relevan lagi.

No comments: